Masalah tingkah laku kanak-kanak.
Anak anda selalu mengamuk tak tentu pasal, terutamanya jika anda tak beri perhatian pada mereka? Ha… ini mungkin terjadi sebab anda selalu sangat “main” telefon!
Ya betul. Kajian baru-baru ini telah membuktikan yang telefon bimbit anda mungkin adalah punca utama kenapa anak-anak anda selalu mengamuk dan “buat perangai".
Semuanya kerana hubungan antara anda dan anak-anak.
Penyelidik mendapati tingkah laku anak yang terlebih sensitif, gemar mengamuk, hiperaktif dan sering mengeluh adalah “reaksi” ke atas sikap ibu bapa yang tak beri fokus pada waktu keluarga.
Tapi, janganlah terburu-buru untuk buang telefon bimbit anda itu! Jom fahami kenapa kajian tersebut membuktikan perkara ini.
Hubungan Antara Ibu Bapa Dan Anak.
Menurut Barandon McDaniel, pakar keluarga dari Illinnois State University, penggunaan teknologi digital mampu mempengaruhi hubungan antara ibu bapa dan anak.
Kanak-kanak akan lebih cenderung untuk mengamuk dan buat perangai bagi "mencuri perhatian" apabila ibu bapa mereka sibuk bermain teknologi canggih ini.
Malah, semakin leka ibu bapa bermain telefon, semakin teruk perangai yang akan ditunjuk oleh anak-anak!
Waktu bersama keluarga.
Sebuah kajian yang diterbitkan oleh Child development membuktikan kenapa hal ini berlaku. Ia kerana waktu bersama keluarga “telah diganggu“.
Pakar kajian menyoal hampir 170 buah keluarga tentang bagaimana penggunaan teknologi digital di rumah mereka. Antara soalan yang ditanya dalam kajian adalah:
- Adakah ibu bapa memeriksa telefon mereka ketika waktu makan atau waktu bermain dengan anak-anak?
- Adakah penggunaan ini mengganggu kualiti anda bersama keluarga?
- Bagaimana tingkah laku anak-anak anda di rumah?
Hasil kajian mendapati hampir 89% ibu bapa sering memeriksa telefon mereka ketika waktu bersama keluarga.
Hanya 11% ibu bapa saja tak sentuh sebarang teknologi digital langsung!
Dan perbuatan tersebut nyata memberi kesan pada tingkah laku anak-anak. Terutamanya jika ibu mereka yang “sibuk” dengan telefon itu!
Kanak-kanak akan mula “mengamuk” dan menangis tanpa henti apabila mereka tak dapat perhatian yang sepenuhnya.
Jadi, bagaimana ingin mengatasi masalah ini?
Kuncinya di sini adalah dengan mengehadkan penggunaan telefon bimbit atau sebarang teknologi lain ketika anda bersama keluarga.
Fokus pada keluarga, perkembangan semasa anak-anak dan kesihatan mereka.
Anda ada masa lain untuk main teknologi ini. Kan ada 24 jam dalam sehari!
Kurangkan membelek smartphone tercinta anda itu ketika anda sedang melayan anak-anak, dan lihat kesannya kelak. Anak anda pasti akan lebih manja dengan kalian!
Apa yang pasti, kajian lanjut tentang kaitan antara penggunaan telefon oleh ibu bapa dan hubungannya dengan tingkah laku anak-anak wajar diperbanyakkan.